Wednesday 26 August 2015

Proses pembelajaran Matematik

Pembelajaran Matematik bagi setiap kanak-kanak akan melalui beberapa fasa. Pada peringkat awal kanak-kanak, memahami operasi Matematik menjadi asas kepada mereka bagi meneroka alam Matematik yang sebenar. 

Fasa 1
+ membilang
+ mengenali simbol-simbol digit
bermula dengan nilai yang kecil hinggalah semakin besar



Pada fasa ini, anak-anak diajar membilang satu, dua, tiga.... dan juga mengenali simbol-simbol digit 0,1,2,3,..... bagi mewakili nilai-nilai sebenar.

Fasa 2
+ memahami banyak dan sedikit
+ memahami konsep tambah dan tolak
Pada fasa ini, kanak-kanak akan memahami banyak dan sedikit melalui konsep tambah dan tolak. Pada peringkat ini, kanak-kanak memerlukan bahan fizikal sebenar bagi mewakili nilai-nilai yang ingin ditambah ataupun tolak. Pada peringkat ini, kemahiran membilang diperlukan bagi mereka memahami konsep banyak dan sedikit. Cukup sekadar nilai-nilai yang tidak terlalu besar.

Fasa 3
+ mengenali nilai dan simbol-simbol digit lebih besar
+ melakukan operasi asas Matematik yang lebih kompleks

Pada fasa ini, kanak-kanak akan mengenali nilai-nilai yang lebih besar dan kompleks. Pada peringkat ini, kanak-kanak akan merujuk nilai sebenar hanya dalam bentuk simbol-simbol digit dan bukan lagi bahan fizikal yang sebenar. Maka, sudah tidak sesuai lagi bagi mereka membilang seperti mana di awal pengenalan konsep tambah dan tolak. Pada ketika ini, anak-anak ini memerlukan satu bentuk kemahiran mengira wakil "simbol-simbol digit" bagi mendapatkan fakta yang sebenar. Membilang satu per satu (menggunakan jari) digit-digit yang kompleks ini tidak lagi sesuai.

Inilah fasa penting dan menjadi asas kepada pembelajaran Matematik yang sebenar untuk melangkah ke fasa yang seterusnya. Bidang Matematik itu sangat luas dan sesuatu yang amat menyeronokkan. Mahu ataupun tidak, memahami konsep Matematik itu pasti berhubung kait dengan digit-digit yang memerlukan pelbagai bentuk pengiraan.

Inilah 3 fasa asas yang harus dilalui oleh setiap kanak-kanak yang akan meneroka bidang Matematik yang lebih mencabar.

Sehingga bertemu lagi.

-Teacher Hana- 

Pendidikan bermula dari rumah


Pendidikan bermula dari rumah....
Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan Si Cilik bermula dari rumah. Sejak lahir, banyak usaha dilakukan oleh ibu dan bapa mendorong anak-anak belajar dari satu tahap ke tahap seterusnya. Bermula dengan menyusu, meniarap, merangkak, bertatih, berjalan, bercakap dan berbagai-bagai kemahiran yang kita bekalkan sehinggalah mereka bersedia menjalani pendidikan formal di tadika dan sekolah.

Tanpa pendidikan formal dan jadual yang ketat, anak-anak telahpun banyak belajar secara santai daripada ibu dan bapa sedari mereka bayi hinggalah alam kanak-kanak.

Tahniah buat para ibu, bapa dan penjaga...  Semoga usaha kita mendorong dan membekalkan kemahiran buat anak-anak tidak terhenti di saat mereka melangkah ke alam pendidikan formal.

-Teacher Hana-

Si Cilik Celik Kira

Si Cilik ? Si Cilik merujuk kepada "anak-anak syurga" yang baru mengenali dunia pendidikan formal sama ada di taska, tadika mahupun sekolah rendah. 

Celik Kira ? Celik kira pula merujuk kepada kemahiran asas mengira (bukan membilang). Asas mengira (+ dan -) merupakan kemahiran asas numerasi yang perlu dikuasai oleh setiap anak-anak untuk menerokai bidang Matematik dengan lebih luas.

Walaupun kempen "Si Cilik Celik Kira" telah lama dirancang, namun hanya sekarang masa mengizinkan untuk dilancarkan. Alhamdulillah.


Kisah disebalik Cetusan Idea

Latar belakang kerjaya sebagai pengusaha pusat tuisyen khas Matematik & Mental Aritmetik (FunMaths Tuition Centre) selama lebih sedekad di Kota Bharu (Kelantan) mendorong Teacher untuk melihat setiap kanak-kanak dibekalkan asas Matematik yang kukuh sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan.

Berhadapan dengan begitu ramai pelajar corot Matematik dan kebanyakan daripada mereka (bukan semua) berpunca daripada dorongan perasaan takut dan fobia terhadap pengiraan. Ini lama kelamaan akan membantutkan minat mereka terhadap Matematik.

Kemahiran asas mengira bolehlah di umpamakan seperti kemahiran asas membaca di kalangan kanak-kanak. Ianya adalah satu kemahiran asas yang perlu dikuasai oleh SETIAP kanak-kanak.

Pada hari ini, teknik mengira dijadikan sebagai satu produk "eksklusif" contohnya (Kumon, Mental Arithmetic) dan hanya segelintir pelajar yang berkemampuan mendapat manfaatnya manakala sebahagian yang lain masih terkapai-kapai dibiarkan tanpa satu teknik khas.

Image result for cartoon kids finger

Matlamat kempen Si Cilik Celik Kira adalah ingin melihat setiap kanak-kanak didedahkan teknik mengira khas lebih awal bagi menambah keyakinan diri seterusnya mendorong mereka meminati Matematik sejak dari zaman kanak-kanak.

Sehingga bertemu lagi, In sha Allah.

-Teacher Hana-

Salam Perkenalan...

Salam perkenalan buat semua...

Saya, Hana Mazita bt Hamid atau lebih mesra dengan panggilan "Teacher Hana" di kalangan pelajar (walaupun tidak pernah mengajar Bahasa Inggeris.. :). Seorang isteri dan ibu kepada satu-satunya anak lelaki yang kini telahpun tamat persekolahan dan mula melangkah ke alam siswa.


Alhamdulillah, selesai sudah tugasan sebagai "driver" berulang alik ke sekolah dan sekarang mempunyai lebih banyak masa di rumah dan menumpukan sepenuh masa kepada minat dan "passion" Teacher dalam bidang Matematik.

Dilahirkan dalam ahli keluarga yang meminati Matematik membuatkan kami, tiga daripada lima beradik akhirnya mengambil keputusan menjadikan Matematik sebagai kerjaya utama,  walaupun latar belakang pendidikan kami berbeza.

Terima kasih kepada semua ahli keluarga terutamanya bonda dan suami yang banyak mendorong dan tidak putus-putus mendoakan Teacher berjaya dalam bidang yang diceburi. Tanpa mereka, cita-cita dan niat Teacher untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dalam dunia Matematik kanak-kanak mungkin hanya tinggal impian.

Akhir kata, semoga Allah melorongkan jalan-jalan kebaikan dan permudahkan segala urusan. Amin.

-Teacher Hana-

Selamat Datang..

Selamat datang diucapkan kepada pengunjung-pengunjung blog "Si Cilik Celik Kira". In sha Allah, dengan izinNya.. moga "Si Cilik Celik Kira" dapat membawa sedikit sebanyak manfaat kepada pengunjung dalam mendidik dan membimbing anak-anak di dalam bidang Matematik khasnya dan bidang-bidang lain secara amnya.

Semoga matlamat untuk menjadikan blog "Si Cilik Celik Kira" sebagai platform untuk sama-sama kita mendorong anak-anak meminati seterusnya seronok menerokai bidang Matematik mendapat izinNya, Amin.

-Teacher Hana-